بسم الله الرحمن الرحيم
Al Kisah
"Abang!", Ali memanggil pelayan.
Tekaknya terasa dahaga.
"Ye?", pelayan tadi tiba di sebelahnya.
Hmm, takdelah abang sangat. Lebih kurang je rasanya, fikirnya.
"Er, teh ais ada?"
"Ada."
"Er... kedai ni guna teh cap apa ye?"
Pelayan tadi terdiam seketika.
"Teh Boh."
"Oh... er, susu pula guna cap apa ye?"
Pelayan tadi memandang ke arah Ali. Kepalanya condong sedikit.
"Susu Dairy Champ."
"Oh.. Okey, okey..."
Sabar juga brader ni dengan aku, cetus hati Ali.
"Hah, oklah. Kasi saya air kosong satu ye." kata Ali sambil tersengih-sengih.
Pelayan tadi memandang tepat padanya. Mungkin dalam hatinya sedang membara.
Namun tiada kata-kata kesat yang keluar dari mulutnya. Dia terus ke belakang untuk mengambil air Ali.
Antara Mahu dan Perlu
Apa lah Ali ni.. tanya macam-macam tentang teh ais, tiba-tiba order air kosong pula.
Menyusahkan pelayan tu je...
Sebenarnya, apa yang kita tak tahu, Ali ni ada diabetes. Dia tak boleh minum air manis.
Tapi biasalah, sebagai insan berhati lembut, hati yang mudah dibolak-balikkan, hati yang terkadang tewas dengan nafsu, dia terasa ingin minum air teh ais.
Namun, hati yang lembut tu masih tabah. Dia tak tertewas dengan nafsu. Dia tahu air teh ais tu, walaupun enak dan memikat, ia tak bagus untuk diri dan kesihatan dia.
Air kosong pula, walaupun terasa kurang memikat, ia banyak mendatangkan manfaat. Lebih-lebih lagi untuk Ali yang mengahadapi diabetes.
Walaupun yang dimahukan adalah teh ais yang sejuk dan manis, tapi Ali tahu, bahawa yang diperlukan adalah air kosong yang melegakan.
Dia Lebih Mengetahui
Begitu jugalah diri kita.
Bila diberi pilihan, pilihlah yang terbaik untuk diri di dunia, dan akhirat. Yang bermanfaat untuk jangka masa pendek, dan juga jangka masa panjang.
Dah semestinya, yang lebih Mengenali kita dan lebih Mengetahui apa yang terbaik untuk kita adalah Allah. Mintalah petunjuk dari Allah. Serahkan hati yang bersih kepadaNya untuk didorong ke arah yang Dia redha.
Kerana, walaupun mungkin hati kita lebih tertarik dan terpikat dengan sesuatu perkara, belum pasti ia yang terbaik untuk kita. Seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 216:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
Mintalah petunjuk dari Allah.
Semoga Dia bimbing hati kita, dan permudahkan urusan kita untuk pilihan yang terbaik yang mampu mendekatlah diri kita padaNya, inshaAllah.
Allahua'laam.
Assalaamu'alaikum.